Pada 17 hingga 18 September 2025, Focus Group Neo Environmental Technology (NET) dari Pusat Pengajian Diploma (CeDS), UTHM telah mengadakan lawatan industri ke dua syarikat utama, iaitu C&S Software Solutions Sdn. Bhd. dan SD Guthrie EcoGarden Sdn. Bhd.. Lawatan ini bertujuan untuk meneroka potensi kolaborasi strategik yang dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara akademia dan industri.
Kunjungan ke C&S Software Solutions Sdn. Bhd. memberi peluang kepada pihak NET untuk meneliti potensi Memorandum of Understanding (MoU), setelah Letter of Intent (LOI) berjaya dimeterai sebelum ini. Perbincangan bersama pihak syarikat memberi tumpuan kepada aspek pembangunan perisian kejuruteraan sivil dan sumber air yang berpotensi menyokong aktiviti penyelidikan, inovasi dan pengajaran di UTHM.
Sementara itu, lawatan ke SD Guthrie EcoGarden Sdn. Bhd. membuka ruang bagi NET untuk mengenal pasti peluang kolaborasi baharu, khususnya dalam bidang pengurusan sumber lestari, ekopelancongan, serta penyelidikan berkaitan hidrologi dan risiko banjir. Perbincangan ini menekankan pentingnya kerjasama dua hala dalam menghasilkan penyelesaian berasaskan teknologi yang relevan dengan keperluan semasa industri dan komuniti.
Secara keseluruhannya, program lawatan industri ini telah memperkukuh hubungan antara NET dengan pihak industri, sekaligus membuka jalan kepada pelaksanaan projek bersama, perkongsian kepakaran dan inovasi, serta usaha mempertingkat kelestarian dalam sektor persekitaran dan pembangunan mampan.

