Suai Kenal NET & AEEGTECH: Perkukuh Jaringan Penyelidikan dan Teknologi Hijau

Pada 20 Ogos 2024, telah berlangsung Mesyuarat Suai Kenal antara Focus Group Neo Environmental Technology (NET) dan Advanced Environment Engineering and Green Technology (AEEGTECH). Sesi yang diadakan dari jam 9.30 pagi hingga 11.30 pagi ini menjadi platform penting untuk memperkenalkan ahli kumpulan, bidang kepakaran, serta hala tuju penyelidikan masing-masing.

NET, yang diketuai oleh Dr. Muhammad Azraie Abdul Kadir, memberi fokus kepada penyelidikan dalam bidang kejuruteraan hidraulik & hidrologi, geomatik gunaan, dan kejuruteraan alam sekitar. Bidang tumpuan NET meliputi pembangunan teknologi pengurusan lestari untuk pemuliharaan alam sekitar, rehabilitasi serta inovasi bahan kejuruteraan boleh diperbaharui. NET juga aktif menawarkan perkhidmatan seperti konsultasi, latihan, pengujian alam sekitar serta pemetaan/inspeksi menggunakan UAV.

Sementara itu, AEEGTECH menekankan pembangunan penyelidikan dalam kejuruteraan alam sekitar, teknologi hijau, pengurusan sisa, rawatan air, dan tenaga boleh diperbaharui, dengan objektif untuk menyumbang kepada kelestarian dan penyelesaian cabaran global perubahan iklim.

Mesyuarat ini turut membincangkan peluang kerjasama dalam bentuk lawatan teknikal, Letter of Intent (LOI) bersama industri, serta penglibatan dalam projek penyelidikan bersama. Antara aktiviti terkini yang dibentangkan termasuk lawatan ke Spatialworks Sdn. Bhd., National Water Research Institute of Malaysia (NAHRIM), dan pemeteraian LOI bersama C&S Software Solutions Sdn. Bhd..

Secara keseluruhannya, program suai kenal ini telah membuka ruang kepada kolaborasi lebih strategik antara NET dan AEEGTECH, khususnya dalam menjayakan penyelidikan berimpak tinggi, perkongsian sumber kepakaran, dan memperkukuh hubungan akademia-industri-komuniti ke arah kelestarian alam sekitar dan pembangunan teknologi hijau.

Share your love